Social Icons

Pages

Friday 21 September 2012

REAKSI GAMIS TERHADAP ISU FILEM "THE INNOCENCE OF MUSLIM"

REAKSI MUSLIM TERHADAP FILEM “THE INNOCENCE OF MUSLIMS”

Dunia umat Islam sekali lagi digemparkan dengan tayangan filem bertajuk “Innocence of Muslim”di laman sosial youtube. Belum pun lagi reda fenomena tarian tidak sihat “Gangnam style”, kehidupan umat Islam berterusan lagi diuji dengan filem biadap yang dihasilkan oleh Sam Bacile ini. Sam Bacile laknatullah adalah seorang warganegara Amerika Syarikat yang beragama Yahudi. Kini individu ini menghilangkan diri dan menyembunyikan identitinya setelah sedutan filemnya yang dimuatkan dalam laman youtube mengundang amarah umat Islam seluruh dunia.

Tidak cukup menghina peribadi mulia Rasulullah s.a.w dengan melukis kartun-kartun porno beberapa tahun yang lepas, kini tampil pula seorang Yahudi membikin satu filem yang tak bertamadun. Dalam filem dua jam ini, digambarkan Islam adalah agama yang kejam dan bersifat terrorist. Lebih menyedihkan adalah, Nabi Muhammad digambarkan dengan watak ‘womanizer, child molester and gay’ yang tidak layak untuk seorang nabi bersifat demikian.

Persoalannya, kenapakah penghinaan kepada Islam tidak pernah surut? Seolah-olahnya golongan Yahudi dan Nasrani ini tidak takut dengan bilangan umat Islam yang mencecah 1.5 billion di seluruh dunia. Jawapannya, kerana kita sebenarnya lemah dan kebanyakan umat Islam mengambil sikap berdiam diri dan tidak peduli. Dan juga benarlah firman Allah:

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah Itulah petunjuk (yang benar)". dan Sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, Maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu” (Al Baqarah :120)

Bagaimana seharusnya kita bereaksi?

Rasulullah s.a.w adalah manusia yang mulia. Sebagai ummatnya, kita perlu menunaikan hak ke atas baginda iaitu memuliakannya, menjaga nama baiknya dan mengikuti sunnahnya. Para sahabat radiallahu ‘anhum telah memberikan contoh yang terbaik dalam memuliakan Nabi s.a.w sehingga mereka sanggup mengorbankan batang tubuh mereka sendiri demi melindungi baginda s.a.w.

Oleh itu, walaupun Nabi s.a.w tidak lagi bersama dengan kita pada hari ini, namun apabila peribadi Rasulullah s.a.w dihina, kita yang mengaku cintakan baginda seharusnya tampil mempertahankan kehormatan baginda.

Pelbagai usaha daripada belahan umat Islam seluruh dunia untuk membantah filem yang sememangnya mencabul agama Islam yang suci ini. Antara kebangkitan umat Islam adalah:

• Di Kota London, aktivis Islam di sana mengambil langkah mengedarkan ribuan buku yang menceritakan peribadi sebenar junjungan mulia Rasulullah s.a.w kepada penduduk di kota itu
• Umat Islam di Libya telah bangkit berdemonstrasi membantah penghinaan ke atas Rasulullah s.a.w sehingga mengorbankan nyawa seorang duta Amerika Syarikat, Christoper Stevens dan tiga lagi rakyat Amerika.
• Demonstrasi aman membantah filem ini di adakan oleh aktivis-aktivis Islam di seluruh Malaysia secara serentak selepas solat jumaat tengahari tadi

Kita patut menyokong bahkan menyertai mana-mana usaha untuk menunjukkan reaksi marah umat Islam terhadap penghinaan ini. Janganlah kita hanya berdiam diri melihat agama yang kita anuti dan cintai ini dipermain dan dihina. Bangkitlah dengan apa jua kekuatan yang kita ada, sampaikanlah bantahan kita dengan pena, suara atau apa sahaja senjata yang kita ada. Sedarkanlah rakan Muslim kita yang masih lagi tidur, yang masih lagi mabuk dalam urusan keduniaan ataupun yang sudah mati hatinya terhadap agama. Agama Islam ini mesti disucikan kembali namanya dan diletakkan di tempat yang tertinggi.

Oleh itu, kami, perwakilan Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS) khususnya GAMIS Pahang mengutuk sekerak-kerasnya pembikinan dan tayangan filem yang telah menghina peribadi mulia Rasulullah s.a.w ini. GAMIS Pahang menyeru semua mahasiswa mahasiswi khususnya yang berada di Pahang untuk sama-sama menzahirkan bantahan kepada filem ini. Moga dengan ujian yang melanda umat Islam hari ini lebih meningkatkan lagi kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. Allahumma solli ‘ala Muhammad.

-Majlis Dakwah Gamis-
15 September 2012
Ini adalah artikel yang telah diterbitkan oleh Majlis Dakwah Gamis berhubung isu ini.

Alhamdulillah, perhimpunan aman di masjid UIA Kuantan telah berlangsung dengan jayanya sebentar tadi (selepas solat Jumaat). Perhimpunan tersebut telah berjaya membangkitkan semangat juang menentang penghinaan terhadap Rasulullah dan kesedaran betapa gigihnya usaha musuh-musuh Islam untuk melemahkan dan menghancurkan Islam dari muka bumi ini.Beberapa orang polis telah hadir dan tiada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

No comments:

Post a Comment

 

Sample text

Sample Text